Nicol David tewas kali pertama sejak Oct 2011


RATU skuasy negara, Datuk Nicol David gagal dalam misinya merangkul kejuaraan pada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB buat kali kelapan berturut-turut.

Pada aksi final yang berlangsung di gelanggang kaca di The Curve, Mutiara Damansara semalam, Nicol terpaksa akur dengan kehebatan pemain muda Mesir, Raneem El Waleily apabila tewas dalam pertarungan empat set 10-12, 13-11, 6-11, 2-11.

Ia merupakan kekalahan pertama Nicol yang juga pemain No. 1 dunia tahun ini.

Untuk rekod, kali terakhir Nicol mengalami kekalahan ialah ketika menentang pemain Australia, Kasey Brown dalam saingan suku akhir Terbuka Amerika Syarikat pada 4 Oktober 2011.

Mengulas kegagalannya mempertahankan kejuaraan pada Terbuka Malaysia kali ini, Nicol berkata, dia tetap memandang positif kekalahannya kepada Raneem semalam.

"Mungkin sudah masanya kita mengubah persepsi yang sesiapa sahaja terutama pemain muda akan berada di atas pentas ke- menangan.

"Mereka semua bekerja keras seperti mana saya berusaha untuk mengekalkan kejuaraan dan mereka semakin bahaya," kata Nicol yang meraih hadiah wang tunai AS$6,900 (RM20,957) selaku naib juara.

Raneem pula membawa pulang piala dan wang tunai AS$10,200 (RM30,979).

Nicol berkata, Raneem, pemain No. 2 dunia, berhak meraih kemenangan berdasarkan corak permainan lawannya itu.

"Dia (Raneem) mempamerkan permainan yang cukup baik. Setiap pukulan yang dilakukan amat kemas dan menggelirukan.

"Amat sukar mengejar kedudukan selepas dia mendahului dengan dua set. Saya cuba mengejarnya tetapi dia bijak memerangkap pergerakan saya," katanya.

Sementara itu, Raneem ternyata berbangga apabila mampu menjinakkan Nicol di hadapan ratusan penyokong Malaysia.

"Ia satu kejayaan yang amat besar bagi saya. Bagaimanapun, saya percaya, dia (Nicol) akan bangkit dengan sekelip mata.

"Saya bermain dengan rentak saya sendiri dan cuba keluar dari zon tekanan. Saya tahu, bertemu Nicol di pentas akhir adalah perkara besar dan saya bersedia untuk itu dengan sebaiknya," ujarnya.

Terdahulu, kekasih Raneem, Tarek Momen muncul juara kategori lelaki selepas menewaskan rakan senegaranya dari Mesir, Mohammed El Shorbagy 10-12, 11-7, 10-12, 11-8.

"Sejak awal lagi, saya berazam untuk memenangi kejohanan ini dan kerana itu, saya bekerja keras.

"Saya sudah menjangka pertembungan akhir ini akan menjadi sengit dan Mohammed berjaya membuatkan saya bermain pada tahap maksimum," ujarnya.

Tarek membawa pulang hadiah wang tunai AS$8,075 (RM24,525) manakala Mohammed menerima AS$5,525 (RM16,780).

Sumber: Kosmo


0 Response to "Nicol David tewas kali pertama sejak Oct 2011"

Catat Ulasan