Harimau Muda ditawar beraksi di Liga Brazil


KUALA LUMPUR - Harimau Muda mendapat dua tawaran untuk berlatih dan beraksi dalam liga, iaitu sama ada meneruskan aksi di Slovakia seperti 2009 dan 2010 atau yang terbaru beralih angin untuk 'bersamba' di negara kuasa bola sepak dunia, Brazil.

Tawaran ini didedahkan jurulatihnya, Ong Kim Swee, yang menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan Teknikal untuk menentukan pasukan A, B atau kemungkinan C yang dihantar ke negara berkenaan.

Beliau juga akan akur sekiranya aksi Harimau Muda A dalam Liga Singapura seperti musim ini dikekalkan pada musim depan.


Atau ia ditukarkan kepada dua lagi pasukan remaja itu demi meneruskan program pembangunan bola sepak negara.

"Kita mempunyai perancangan (bagi Harimau Muda) ke luar negara sama ada Slovakia atau Brazil (berlatih dan bermain di liga sana). Kami juga ditawarkan ke sana, untuk melihat apa bentuk tawarannya, tempat, kemudahan dan gelanggangnya," katanya di Menara TM di sini, semalam.

Kim Swee yang ditemui selepas majlis penyerahan cek penajaan dan insentif pasukan juara Sukan SEA 2011 oleh TM, bagaimanapun berkata, beliau kurang pasti dalam divisyen mana Harimau Muda ditawarkan bermain dan jadual musim baru liga kelab Brazil itu.

"Pengurusan (FAM) juga akan tentukan pasukan mana yang ke Liga Singapura. Kita ada perjanjian tiga atau empat tahun dengan negara itu, tetapi tidak semestinya mainkan Harimau Muda A, mungkin pasukan B dan mungkin ada pasukan C. Di Slovakia pula kita sudah ke sana dan pastinya akan bermain liga mereka," katanya.

"Saya berharap ia dapat diputuskan secepat mungkin supaya dapat menyiapkan jadual persahabatan di luar negara dengan beberapa pasukan Bawah 23 atau 21 kebangsaan mereka (bagi persediaan mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Naypyidaw 2013)," tambahnya.


Mengenai insentif TM yang disampaikan Ketua Pegawai Pemasarannya, Datuk Rozalila Abdul Rahman, kata Kim Swee: "Sudah tentu ini akan memberi dorongan yang lebih terutama 11 daripada 20 pemain Sukan SEA 2011 yang masih boleh bermain (di Naypyidaw) tahun depan.

"Ia juga akan menjadi motivasi kepada pemain lain untuk diserapkan ke pasukan ini pada masa akan datang, terutama apabila saya mahu memanggil mereka yang kini mewakili pasukan negeri seperti Zubir Azmi, Asri Chuchu dan Rozaimi Rahman bagi tempoh tujuh atau lapan bulan," katanya.

Tegas Kim Swee, beberapa negara jiran Asia Tenggara kini turut mengikut jejak Malaysia dengan menghantar pasukan belia berlatih dan bermain liga luar negara, justeru sepatutnya tidak timbul isu kelab atau negeri yang enggan melepaskan pemain mereka kepada FAM.

"Apabila dipanggil, pemain ini hak atau aset dan perlu berkhidmat untuk negara. Saya tidak boleh katakan pemain ini hak saya. Jika pasukan senior kebangsaan juga perlukan mereka, saya perlu benarkan ke sana walaupun kami mungkin dalam situasi menjadi juara Liga S," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia


0 Response to "Harimau Muda ditawar beraksi di Liga Brazil"

Catat Ulasan