Liza Abdullah - Jangan fitnah saya tiada suami


Selama ini, jarang sekali kita dengar pelakon senior yang cukup disegani ini mencanang perihal rumahtangganya pada khalayak ramai. Bukan apa, sudah menjadi prinsip hidupnya untuk tidak terlalu terbuka bercerita hal peribadi.

Begitulah Liza Abdullah sejak dari dahulu lagi. Kalau ditanya pada orang lama, tentu sahaja mereka akan tahu dan kenal bahawa inilah karakter sebenar Liza. Walau bagaimanapun, dalam kedamaian hidup tanpa kontroversi, timbul khabar angin kononnya Liza telah menjadi ibu tunggal sejak beberapa tahun lalu.

Liza yang merupakan ibu kepada tiga permata hati, iaitu Zulhaffiz Zarriq, 23, Zulsyahmi Naqib, 19, dan Zulsyahmi Afiq, 8, didakwa telah berpisah dengan suaminya sejak beberapa tahun oleh sesetengah pihak.

Dari satu sudut, ini bermakna secara tak langsung, Liza kini memegang status ‘J’ atau janda. Status yang cukup digeruni oleh mana-mana wanita sekali pun. Tetapi, benarkah dakwaan itu?


Sudah nama pun khabar angin. Kalau tidak ditanya pada empunya diri mengenai kebenarannya, maka ia kekal sebagai satu perkara yang tidak sahih. Pun begitu, demi mendapatkan kepastian berhubung isu itu, Pancaindera mencari jawapan daripada mulut Liza sendiri. Sama ada ia benar atau tidak, biarlah Liza yang menjelaskannya kepada pembaca.

Ada khabar kurang enak melanda. Khabarnya, Liza dan suami sudah berpisah sejak beberapa tahun lalu? Betul ke?
Dari mana dapat cerita ni? Kalau boleh saya tak nak cakap tentang hal ini. Cukuplah kalau saya katakan yang saya masih ada suami.
Liza semacam mahu merahsiakan hal ini, kenapa?
Hal-hal peribadi memang saya tak mahu cerita. Memang saya ni artis dan ramai orang nak tahu kisah saya sama ada hal kerjaya atau hal peribadi. Tapi saya percaya, ada sesetengah perkara, saya perlu simpan sedikit untuk diri sendiri.
Jadi tentang isu sudah bercerai ni macam mana? Adakah Liza mengaku memang sudah bercerai atau sebaliknya?
Macam saya katakan, saya masih ada suami. Sudah 24 tahun saya mendirikan rumah tangga bersama suami. Saya hairan juga. Kenapa orang lain lebih tahu daripada saya ya?

Adakah ini satu cara Liza menidakkan dakwaan itu memandangkan mungkin orang tak tahu status sebenar Liza? Mungkin juga ada masalah timbul dalam hubungan Liza dan suami lalu timbul spekulasi ini?
Saya tak mahu kongsi dengan orang perkara-perkara yang tak baik. Orang mungkin lihat saya suka ketawa dan happy go lucky, tapi saya juga macam manusia normal lain. Rumahtangga mana yang tak ada pasang surutnya? Saya pasti ramai pasangan lain juga melalui perkara yang serupa. Bagi saya, ini adalah antara proses mencari kehidupan sebenar. Apa-apa pun, rasanya setakat itu saja yang dapat saya kongsikan sebab saya tak mahu orang bercakap-cakap tentang hal ini.
Apa komen Liza apabila orang luar seolah-olah lebih mengetahui mahtangga dan status Liza?
Apa yang orang kata tak semestinya benar dan saya perlu berdiri menegakkan kebenaran. Cuba fikir, kalau saya ni pelakon dan artis sekali pun, tak akanlah setiap kali saya pakai baju apa, nak pergi mana, nak minum apa, nak makan apa, saya perlu beritahu pada semua? Betul tak? Macam saya katakan, saya tak suka campur-aduk hal peribadi dengan hal kerjaya.

Liza ada pesanan buat mereka yang menimbulkan gosip ini?
Tak ada. Tapi saya harap semua orang doakanlah kesejahteraan saya dan keluarga. Saya cuma mahu menjadi individu terbaik dan menumpu perhatian pada kerja dan keluarga sahaja.
Membina rumahtangga selama 24 tahun, pastinya banyak pengalaman Liza. Pernah tak Liza dirujuk oleh kawan-kawan artis lain untuk mendapatkan nasihat atau hal-hal berkaitan kebahagiaan rumahtangga?
Kalau nak cari orang yang memberi nasihat tentang hal ini, saya rasa, saya bukanlah orang yang tepat. Saya mungkin boleh beri nasihat sebagai kawan, tetapi sebenarnya, apa isu yang berlaku dalam rumahtangga atau mana-mana pasangan, dia dan suami perlu selesaikannya bersama. Itu saja yang boleh saya katakan. - Utusan Malaysia

0 Response to "Liza Abdullah - Jangan fitnah saya tiada suami"

Catat Ulasan