6.10 PM 23 Mac 2013 - Dalang utama dan komander pencerobohan Lahad Datu berjaya ditangkap


Dalang utama dan komander pencerobohan Lahad Datu berjaya ditangkap - Anak lelaki kepada bekas Ketua Kampung Tanduo dipercayai merupakan orang tempatan yang menjadi penyelaras kepada kumpulan pengganas bersenjata Sulu.

Dia merupakan seorang daripada empat orang yang ditahan, merupakan individu yang memainkan peranan penting dengan kumpulan pengganas yang ditahan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Seorang lagi ialah komander tentera kumpulan pengganas Sulu, ditangkap ketika bersembunyi di kawasan paya di Semporna ketika pihak polis sedang melumpuhkan kumpulan pengganas Sulu yang beroperasi di sana dan Lahad Datu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kedua-dua individu penting itu ditahan bersama-sama isteri masing-masing.

Sementara itu, Khalid mengesahkan lelaki tempatan yang ditahan berusia awal 40-an itu, ditangkap bersama isterinya di satu kawasan di kampung tersebut pukul 10 malam semalam (22 Mac 2013).


Beliau berkata lelaki berkenaan memiliki kad pengenalan Malaysia, katanya kepada pemberita. Komander tentera yang ditahan itu kini ditahan di bawah Akta Imigresen bagi mengesahkan identiti serta dokumen pengenalan dirinya.

"Dalang utama itu dikenalpasti sebagai individu yang bertindak mengatur makan dan minum, tempat tinggal, kenderaan serta perubatan kepada militan Sulu sejak daripada awal pencerobohan.

"Dengan penahanan komander tentera Sulu serta tali barut pengganas ini, saya berpendapat kumpulan militan kini lumpuh dengan tertangkapnya dua individu terbabit,"
katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi Felda Sahabat 16, petang tadi.

Khalid berkata dengan penangkapan dua individu terbabit, beliau percaya pergerakan saki-baki pengganas kini semakin terbatas dan lemah ekoran kehilangan arah selain tidak lagi mendapat bantuan daripada warga tempatan.

Sambil merakam penghargaan kepada masyarakat yang membantu memberikan maklumat sehingga tertangkapnya individu paling dikehendaki itu, Khalid berkata Operasi Daulat yang memasuki hari ke-19 hari ini tetap diteruskan dan membayangkan masyarakat sekitar Lahad Datu akan kembali meneruskan kehidupan seperti biasa tidak lama lagi. - mStar


0 Response to "6.10 PM 23 Mac 2013 - Dalang utama dan komander pencerobohan Lahad Datu berjaya ditangkap"

Catat Ulasan