2 Foto perkahwinan Wan Nordiana, adik Fizo Omar

Pelakon Fizo Omar memberitahu majlis akad nikah adiknya, Wan Nordiana, 25, yang berlangsung petang Jumaat menjadi kelam-kabut akibat rumah kediaman mereka di Selising, Pasir Puteh, Kelantan terputus hubungan.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 29, berkata, persiapan yang dirancang untuk majlis pernikahan dan persandingan pada Sabtu (esok) pula terpaksa dibatalkan kerana rombongan pihak lelaki dari Kuala Lumpur tidak dapat menghadirinya selain hotel yang ditempah menutupkan operasi kerana dimasuki air.

"Majlis pernikahan adik saya petang ini dan persandingan akan dilakukan sekadar apa yang mampu sahaja kerana keadaan tidak mengizinkan, rumah kami sudah terputus hubungan dengan kawasan bandar.

"Beberapa persiapan seperti katering, juru solek, tidak dapat sampai ke rumah kami petang ini. Malah rombongan pihak lelaki seramai 70 orang juga tidak dapat datang,"
katanya kepada mStar Online, Jumaat.

Bagaimanapun, Fizo berkata, majlis tersebut tetap akan dijalankan secara sederhana mengikut syarat yang wajib sahaja. Dia bernasib baik kerana rumahnya tidak terlibat dengan kawasan banjir.

"Majlis pernikahan akan tetap dijalankan kerana pengantin lelaki sudah berada di sini bersama kedua ibu-bapanya dan kami akan buat majlis untuk keluarga sahaja.

"Manakala majlis persandingan esok pula akan tetap ada cuma makanan yang kami sediakan adalah terhad kerana bekalan makanan di kampung juga semakin berkurangan,"
katanya.

Sementara itu, Fizo berkata, bekalan elektrik di rumahnya baharu sahaja disambung semula sejak terputus pada pagi Khamis.

Fizo berkata, sejak sampai ke Kelantan pagi Jumaat keadaan banjir semakin teruk dan menyedihkan.

"Saya sepatutnya balik ke Kelantan semalam (Khamis) tetapi tiada penerbangan ke Kelantan, pagi tadi baru saya sampai dan sepanjang perjalanan balik ke rumah saya lihat orang ramai sedang sibuk menyelamatkan diri dan barang-barang.

"Keadaan semakin teruk dan sukar untuk digambarkan. Saya mungkin akan mencari bot untuk menolong penduduk di sini,"
katanya.

Dalam pada itu, Fizo berkata, dia akan berada di negeri itu sehingga keadaan banjir semakin baik.

Dia juga akan menjalankan tanggungjawab sosial dengan memberi bantuan serta mengumpul barang-barang untuk keperluan mangsa banjir.

"Saya akan berada lama di sini sehingga banjir reda. Mula esok saya akan mengumpul barang-barang untuk keperluan mangsa banjir dan edarkan kepada mereka," ujarnya - mStar.



1 Response to "2 Foto perkahwinan Wan Nordiana, adik Fizo Omar"

  1. Bagus fizo ni...
    Dia anak Yg baik..semoga hidupnya sekeluarga dirahmati dan diberkati.
    Ibunya juga sgt baik dan tidak sombong!

    BalasPadam