Punca sebenar Jue Aziz tiba-tiba bertudung

Sudah lebih dua bulan tampil dengan imej berhijab, pelakon Jue Aziz, 32, mengakui kehidupannya lebih tenang. Penghijrahan tanpa desakan daripada mana-mana pihak itu juga membuatkan Jue lebih bersyukur.

“Alhamdulillah, saya kini lebih tenang dan selamat. Paling penting juga orang sekeliling lebih menghomati penampilan sebegini. Jika sebelum ini pelbagai persepsi negatif dilemparkan, tapi sekarang lebih ke arah positif. Saya akui berhijab juga tak lepas daripada pelbagai dugaan. Tipu kalau saya katakan tak ada, tapi semuanya dapat diselesaikan dengan lebih tenang dan lancar. Allah SWT permudahkan jalan itu,” katanya.

Kata pemilik nama sebenar Zuliana Abdul Aziz, selepas berhijab dia mengambil langkah dengan membuang semua baju seksinya.

“Ada sesetengah baju yang boleh disuai padan dengan penampilan baru ini, saya masih simpan. Kalau yang terlalu seksi saya buang terus. Ada orang cakap kenapa tak derma atau jual, tapi pada saya tak ada gunanya. Apabila berbuat demikian, ia lagi menambah dosa. Sepatutnya kita perlu mendidik ke arah kebaikan bukannya mendorong jadi lebih negatif,” katanya.


Pelakon drama Lagenda Budak Setan ini mengakui perkara terbabit sudah dilakukan sebelum dia mula berhijab lagi. Berkongsi berkenaan penghijrahannya, segalanya bermula selepas ayahnya meninggal dunia pada 31 Julai lalu.

“Alhamdulillah, mungkin ini jalan terbaik Allah SWT mahu berikan kepada saya. Selepas ayah meninggal, dua hari selepas itu tanpa dirancang saya terus mengenakan hijab. Sebelum ini keluarga dan suami banyak mendorong ke arah itu, tapi belum terbuka pintu hati. Setiap hari saya berdoa semoga digerakkan hati berhijab. Bukan apa, saya tak nak berubah disebabkan orang lain,” katanya.

Jue Aziz dedah punca hijrah untuk berhijab

Jue juga memberitahu hari sebelumnya dia bermimpi arwah ayahnya.

“Ketika saya ambil wuduk untuk solat, hati saya dirundung perasaan rindu teramat pada arwah ayah. Saya teri­ngin menatap wajahnya dengan senyuman. Malam itu, ketika tidur, saya mimpikan ayah. Malangnya, ayah tidak senyum sehingga saya memegang kedua-dua belah pipinya untuk memaksanya senyum,” katanya.

Kata Jue lagi, perkara itu diceritakan kepada kakaknya kemudian menasihatinya untuk berubah.

“Dengan nada lembut kakak memberitahu, mungkin itu pesanan daripada Allah SWT meminta saya berubah. Saya cakap pada kakak, maknanya Allah dengar doa saya,” katanya.

Kata Jue, penghijrahan berkenaan disambut baik seluruh ahli keluarga dan suami tercinta.

“Mulanya saya tak cakap pada suami. Selama ini pun dia tak pernah paksa saya berhijab. Apabila tampil dengan imej sedemikian, dia terkejut lantas bertanya sama ada perubahan saya itu betul atau sekadar gurauan. Apabila diberitahu ia penghijrahan kekal saya, dia tersenyum dan mengucap syukur. Lagi pula saya tak mahu dia terus menanggung dosa saya,” katanya.

Memandangkan Jue masih aktif berlakon, dia memberitahu penampilan berhijab tidak menghalang kreativiti seorang pelakon. Menurut Jue lagi, bagi menambahkan ilmu pengetahuan agama dan kerohanian, dia bersama kakaknya menghadiri kelas agama.

“Perubahan ini saya buat secara perlahan-lahan. Tak mahu terlalu drastik sehingga digelar ustazah segera. Memang betul ia perlu, tapi bagi saya ruang dan peluang untuk belajar memperbaiki diri. Masih banyak kekurangan dalam diri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Jue berkata, sejak berkahwin dengan Bayu Pramana Putra Achmal pada 9 Mac 2014, hampir setiap bulan dia membuat pemeriksaan untuk mengetahui adakah dia hamil ataupun tidak.

Bagaimanapun, setahun selepas itu, Jue mula reda dan hanya berserah kepada Tuhan selain tidak mempedulikan lagi persoalan orang tentang anak yang sering ditanya.

JUE AZIZ DEDAH PUNCA HIJRAH UNTUK BERHIJAB

“Jujurnya, ada ketikanya saya tertekan dan rimas apabila orang tanya soal anak. Siapa yang tidak mahu anak. Tetapi semua itu ketentuan Allah. Saya anggap belum ada rezeki. Mungkin Allah nak bagi yang terbaik selepas ini. Paling peting sabar, reda dan teruskan berdoa,” katanya yang menafikan dia suami merancang untuk mendapatkan zuriat sendiri.

Sumber: Gegarmeletop

1 Response to "Punca sebenar Jue Aziz tiba-tiba bertudung"