Rosyam bintangi KL Gangster 2
SUTRADARA muda terhebat, Syamsul Yusof, tidak berniat menukar pelakon asal filem KL Gangster apabila mengarahkan KL Gangster 2 tidak lama lagi.
Lebih menarik, dia juga menyenaraikan aktor handalan Rosyam Nor berganding bersama pelakon utama Aaron Aziz, Adi Putra, Zizan Razak dan Ridzuan Hashim.
Syamsul berkata, filem sekuel itu akan memulakan penggambaran pada penghujung November ini dengan kos sekitar RM3 juta.
“Lega rasanya kerana berjaya mendapat Rosyam untuk berlakon bersama barisan filem lalu. Sebelum ini usaha mendapatkan Rosyam dalam KL Gangster tidak kesampaian kerana dia sibuk dengan jadual lakonan lain.
“Seperti filem pertama, saya tidak akan meletakkan sebarang pelakon utama wanita. Filem KL Gangster 2 juga akan memberi fokus kepada pelakon lelaki handalan baru dan lama.
“Jalan cerita untuk filem kedua ini lebih menarik. Ia bukan sekadar memberi tumpuan kepada aksi pertarungan saja. Harapan saya terhadap KL Gangster 2 tetap tinggi dan mahu memastikan ia filem ditunggu penonton,” kata karyawan berusia 27 tahun ini.
Syamsul berkata demikian pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediaman ayah dan ibunya, Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah Ismail di Taman Melawati, Hulu Klang, Sabtu lalu.
Majlis dihadiri 800 jemputan di kalangan penggiat filem dan muzik tanah air serta kenalan rapat keluarga itu selain rakan perniagaan.
Antaranya, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd Naguib Razak, Datuk Freddie Fernandez, David Teo, Julie Dahlan, Datin Paduka Umie Aida dan suami Datuk Paduka Khairuddin, Nor Albaniah, Datin Zaiton Muhd Jiwa, Lisdawati, Shiha Mentor 5, Zack KOOL dan ramai lagi.
Malah suasana di perkarangan mahligai indah Yusof Haslam di lereng bukit pada petang dan malam itu kelihatan sungguh meriah dengan wajah tetamu muhibah 1Malaysia.
Dari sudut pencapaian, filem KL Gangster arahan Syamsul mencatat kutipan box-office tertinggi dalam sejarah kutipan filem Malaysia iaitu RM12 juta ketika ditayangkan di pawagam. Ini ditambah lagi dengan kutipan filem seram Khurafat sebelumnya yang meraih RM8 juta.
Nyata kutipan filem arahan Syamsul itu mengatasi pencapaian filem arahan ayahnya dulu yang mencecah RM6 juta pada 1995.
Sebelum ini, Syamsul mencipta sejarah dalam bidang pengarahan apabila menang anugerah Pengarah Terbaik dan Penyunting Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23).
Syamsul berkata, dia juga sedang dalam proses awal menyiapkan skrip dan jalan cerita filem sejarah Bukit Kepong yang dulu pernah diarahkan Tan Sri Jins Shamsudin pada 1981.
“Jangkamasa penggambaran Bukit Kepong saya jangka dalam masa tempoh satu tahun setengah lagi. Kajian mendalam masih giat dilakukan dan banyak aspek perlu diolah dengan mantap kerana kosnya sekitar RM6 juta.
“Saya tidak bersetuju kalau ada orang cakap, filem sejarah atau epik tidak memikat generasi muda.
“Bukit Kepong versi baru kelak memberi penekanan terhadap fakta dan saya akan cuba memberikan yang terbaik kepada penonton termasuk dari sudut aksi dan lakonan.
“Saya juga mahu ia menjadi filem Melayu terhebat dan dikenang bagi tempoh yang lama, insya-Allah,” ujarnya.
Sementara itu, Yusof berkata: “Saya terkejut keputusan Syamsul yang bertegas tidak menggunakan sebarang heroin dalam KL Gangster 2. Saya sendiri tak berani buat sebegitu sepanjang menjadi pengarah filem.
“Apapun saya tetap hormat keputusan Syamsul itu. Dia ada visi tersendiri dan saya akan terus menyokongnya. Saya tetap bersikap terbuka.”
Bagi peminat filem, sebuah lagi karya Syamsul terbitan Skop Productions iaitu Aku Bukan Tomboi akan ditayangkan pada 17 November ini. Ia lakonan Syamsul, Shaheizy Sam dan Scha Al-Yahya.
Copy & paste dari : Harian Metro

0 Response to "Rosyam bintangi KL Gangster 2"
Catat Ulasan