TAWAU 16 Ogos - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun tergamam apabila melihat bapanya yang sedang memukat udang di Sungai Udin dekat sini tiba-tiba disambar seekor buaya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang semalam, Azwan Jailani, 16, yang hanya berada dalam jarak beberapa meter daripada bapanya, Jailani Indersaya, 54, sekadar mampu melihat lelaki itu ditarik ke dalam sungai.
Katanya, ketika dia sedang leka memancing dan ayahnya memukat di sungai tersebut, tiba-tiba muncul seekor buaya berwarna hitam yang terus menerkam Jailani.
"Saya terpaku seketika sebelum cuba mengejar jejak buaya itu berdasarkan kocakan air dari tebing sungai, tetapi buaya dan bapa saya terus lenyap ke dalam sungai," katanya ketika ditemui di sini hari ini
Azwan berkata, dia tidak menyangka akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini tanpa bapanya ekoran kejadian tidak diduga itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Chin yang mengesahkan kejadian itu berkata, gerakan mencari kini dilancarkan bagi mengesan mangsa.
Katanya, ia dijalankan bersama beberapa agensi lain termasuk pihak bomba dan penyelamat, Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Perhilitan dan orang kampung.
"Kes buaya membaham mangsa pernah berlaku di daerah ini seperti di Sungai Kalumpang, Sungai Serudong dan Sungai Udin.
"Sehubungan itu, saya nasihatkan masyarakat supaya berhati-hati ketika turun ke sungai dan berusaha untuk mengelak daripada pergi ke kawasan yang diketahui terdapat habitat buaya," katanya.
Sumber : Utusan Malaysia Online
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 Response to "Bapa disambar buaya menjelang Hari Raya"
Catat Ulasan