LONDON - Penyerang antarabangsa Belanda, Robin van Persie melengkapkan perpindahan ke Manchester United selepas menandatangani kontrak selama empat tahun semalam.
Van Persie, 29, yang menjaringkan 37 gol untuk Arsenal dalam semua pertandingan musim lalu turut disenaraikan dalam kesebelasan utama United pada perlawanan sulung Liga Perdana England menentang Everton pagi Isnin ini.
"Van Persie telah menjalani pemeriksaan perubatan, bersetuju dengan terma peribadi dan menandatangani kontrak bersama United selama empat tahun sehingga Jun 2016," kata Alex Ferguson dalam satu kenyataan di laman web rasmi kelab itu.
"Dia adalah penyerang berkelas dunia dan dia telah membuktikannya bukan sahaja di sini tetapi di seluruh Eropah."
Ferguson berkata, van Persie tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat United kerana dia merupakan satu nama besar serta telah menjaringkan begitu banyak gol sepanjang kariernya.
Sementara itu, van Persie berkata: "Ini adalah satu penghormatan dan pencapaian besar dalam hidup saya selepas menandatangani kontrak bersama Manchester United dan saya sudah tidak sabar untuk menyarung jersi United serta turun ke padang untuk beraksi."
Van Persie bertekad untuk meninggalkan Arsenal selepas skuad The Gunners sekadar menduduki tempat ketiga dalam saingan liga musim lalu.
Van Persie yang menyertai Arsenal pada tahun 2004 masih mempunyai baki kontrak selama setahun di kelab itu.
Pada Julai lalu, dia membuat kejutan apabila mendedahkan untuk tidak menyambung kontrak kerana tidak gembira dengan arah tuju kelab itu.
Arsenal yang kehilangan beberapa pemain utama tidak pernah memenangi trofi utama sejak Piala FA 2005.
Sumber : Kosmo Online
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 Response to "Robin van Persie sah jadi milik Manchester United"
Catat Ulasan