Filem Innocence Of Muslims dalam Youtube disekat


KUALA LUMPUR - Filem anti-Islam Innocence Of Muslims yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam didapati tidak lagi boleh diakses melalui saluran YouTube selepas kerajaan menyekat penyiarannya.

Cubaan Bernama semalam untuk mengakses kandungan filem itu gagal, menjurus kepada pengamatan pengguna Internet di negara ini dihalang daripada mengakses filem kontroversi itu.

Hanya maklumat pemberitahuan meminta maaf tertera pada skrin yang berbunyi: This content is not available in your country due to a legal complaint. Sorry about that (Kandungan ini tidak boleh ditonton di negara anda berikutan aduan perundangan. Maaf mengenai perkara itu).

Filem arahan Sam Bacile, 52, dari California, yang disiar dalam laman YouTube mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Dua hari lepas, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, Malaysia menyekat penyiaran filem itu yang jelas menghina agama Islam.

Rais dipetik berkata, beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk berunding terus dengan pihak berkuasa lain supaya tidak membenarkan akses kepada paparan itu sama ada melalui YouTube atau saluran lain.

Sumber: Harian Metro

1 Response to "Filem Innocence Of Muslims dalam Youtube disekat"