Minum racun akibat masalah rumah tangga


KUCHING - Kecewa dengan masalah rumah tangga yang dihadapi, seorang warga emas nekad cuba membunuh diri dengan meneguk racun rumpai sebelum tindakannya berjaya dihalang rakan sebilik di sebuah asrama pekerja di Batu 3, di sini, semalam.

Lelaki dikenali sebagai Ah Man, 59, dari Miri itu ditemui terbaring dengan mulut berbuih di lantai oleh rakan sebiliknya, jam 6 pagi.

Menurut saksi dikenali sebagai James, 32, ketika kejadian dia tidur, namun terjaga apabila mendengar rakan batuk dipercayai selepas meneguk racun rumpai berkenaan. “Saya bangun untuk memeriksa keadaannya terkejut melihat dia terbaring sambil memegang leher dengan mulutnya berbuih.

“Dia juga mengadu tekaknya perit dan panas seperti terbakar menyebabkan saya segera memberinya secawan air sebelum menghubungi ambulans kerana bimbang keadaannya menjadi lebih teruk,” katanya.

James berkata, rakannya dipercayai cuba membunuh diri kerana terlalu tertekan dengan masalah perkahwinan yang dihadapi apatah lagi tinggal berjauhan dari keluarganya di Miri.

Difahamkan, mangsa mempunyai seorang anak lelaki dan perempuan berusia lingkungan 17 dan 19 tahun. “Warga emas ini mengadu kerap bergaduh dengan isteri disebabkan masalah kewangan selain beberapa hal kecil lain.

“Pergaduhan mereka berlarutan berminggu-minggu menyebabkan lelaki itu kecewa dengan sikap isterinya yang sering marah apabila cuba berbaik,” katanya.

Sumber: Harian Metro

0 Response to "Minum racun akibat masalah rumah tangga"

Catat Ulasan