Pasangan kekasih kahwin dalam excavator


BATU PAHAT - Setiap pasangan bergelar Raja Sehari sudah pasti mahukan hari bersejarah itu dikenang sampai bila-bila dan pelbagai cara dilakukan bagi menjadikannya antara hari paling bermakna dalam hidup masing-masing.

Berikutan itu, tidak hairanlah sepasang mempelai, Mohd Taufik Mislan, 26, dan Nur Zila Ismail, 25, sanggup menaiki jengkaut yang dipandu Taufik sejauh 700 meter bermula di rumah Zila di Kampung Parit Mantan, Parit Sulong, di sini, ke rumahnya di kampung sama, baru-baru ini.

Bapa Taufik, Mislan Kasiran, 65, berkata, idea menaiki jengkaut itu cetusan pengantin lelaki yang mahukan kelainan pada hari persandingannya.

Menurutnya, Taufik mahu mengabadikan kenangan berkenaan yang sinonim dengan kerjanya iaitu pembantu kontraktor binaan dan pembekal barang binaan.
“Saya tidak membantah apa yang anak saya minta, lagipun dia bersungguh-sungguh mahu membuat kelainan itu sebagai tarikan kepada saudara mara kami.

“Dia membasuh sebuah jengkaut dan membersihkan jentera itu sebelum dipandunya ketika berarak pada hari persandingannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.
Majlis persandingan diadakan di rumah pengantin lelaki yang juga sekampung dengan pengantin perempuan dihadiri saudara-mara dan kenalan pengantin.

Sementara itu, Taufik berkata, pada mulanya tidak terfikir memandu jentera itu, namun mendapat idea itu dan ingin melaksanakannya sebagai satu kelainan pada majlis persandingannya.
“Ia hari bersejarah dan hanya berlaku sekali seumur hidup. Sudah pasti saya mahu ia dikenang dan dikongsi bersama anak cucu nanti.

“Selain itu, saya pasti ia akan diingat saudara dan kenalan sampai bila-bila,” katanya.
Sumber : Harian Metro

0 Response to "Pasangan kekasih kahwin dalam excavator"

Catat Ulasan