Antara penerbit yang mempertikaikan logiknya tindakan Zed Zaidi itu ialah Edry Abdul Halim, Ahmad Idham dan Datin Zaiton Mohd Jiwa. Bagi mereka, kontrak yang dibuat adalah perjanjian dan persetujuan dua belah pihak bukan satu paksaan.
Edry Abdul Halim yang ditemui media berkata, apa jua isi kontrak itu ianya bergantung kepada produksi tersebut yang merupakan pelabur dan pengeluar modal. Walaupun 99 peratus kontrak berpihak kepada syarikat, artis baru tidak boleh bertindak sedemikian setelah berjaya mencipta nama.
“Konsepnya sama seperti urusan pinjaman bank. Adakah pemiutang itu yang perlu menetapkan isi perjanjian? Semuanya bergantung kepada produksi kerana syarikat yang keluarkan modal untuk artis. Perkara sebegini tidak perlu ditimbulkan kerana artis tidak dipaksa untuk menandatangani kontrak."
“Jika mereka tidak setuju, mereka tidak perlu tandatangan. Kalau bawa ke muka pengadilan sekalipun, mereka tidak boleh mempertikaikan isi kontrak kerana ia adalah persetujuan bersama. Saya sarankan, sebelum tandatangan kontrak, rujuk dahulu kepada mereka yang berpengalaman. Jangan terus tandatangan sahaja."
“Mereka perlu membaca kesemua isi kandungan agar tidak berlaku masalah di kemudian hari seperti ini. Sebaiknya, artis baru itu jangan tandatangan kontrak dalam jangka masa yang panjang. Tandatangan untuk setahun dahulu, jika serasi dengan produksi itu, mereka boleh sambung dan sambung lagi.”
Bagi pemilik syarikat produksi Excellent Pictures Sdn Bhd, Ahmad Idham Ahmad Nadzri pula, apapun isi kandungan yang terdapat kontrak adalah hak penerbit dan sepatutnya tidak dipertikaikan.
“Apa jua isi kontrak itu, ia adalah hak penerbit! Tak ada kontrak yang tak adil. Walaupun tak semua penerbit menyediakan kontrak yang selaras, namun ianya lebih kurang sama."
“Pun begitu, kontrak bukanlah Al-Quran yang tidak boleh diubah. Sekiranya artis itu tidak bersetuju dengan kontrak yang ada, mereka boleh berbincang mengenai perkara itu."
“Artis juga kena baca dan fahami isi kandungan kontrak. Mereka boleh tandatangan kontrak itu asalkan ia tidak melanggar hak asasi manusia.”
Selain Ahmad Idham, Datin Zaiton Mohd Jiwa turut membidas kenyataan Zed semalam. Beliau yang merupakan pemilik syarikat produksi, Global Station, berkata dia tidak pernah memaksa golongan artis menandatangani kontrak yang dibuat. Sepatutnya, artis baru perlu mengkaji dan menyelidiki isi kontrak terlebih dahulu.
"Kak Ton tak pernah paksa artis bersetuju dengan kontrak yang disediakan. Sekiranya ada terma yang tidak dipersetujui, kita boleh berbincang."
“Sekiranya perkara itu boleh diubah, Kak Ton akan pertimbangkan. Namun, dalam kontrak Kak Ton, tak ada larangan dalam perhubungan setiap artis. Lagipun, Kak Ton tak pernah terfikir nak masukkan perkara sebegini dalam kontrak."
0 Response to "Edry KRU, Ahmad Idham dan Datin Zaiton bidas Zed Zaidi"
Catat Ulasan