4 Gambar Wajah Terkini Suhaimi Saad Yang Didakwa Disantau Orang


"Kalau berjumpa doktor, mereka akan membuat imbasan berdasarkan fakta saintifik. Apabila saya merujuk ustaz dan perawat, memang ada kemungkinan berkaitan dengan unsur-unsur (ilmu hitam) itu. Allahualam

"Saya percaya dengan ilmu sihir dan santau tapi saya juga berikhtiar secara rawatan fizikal dan rohani. Saya juga percaya pada ubat-ubatan,"
demikianlah kata bekas penyanyi nasyid kumpulan InTeam, Suhaimi Saad yang tidak menolak ada kebarangkalian sakit mata kronik yang dialaminya sejak setahun lalu ada gangguan daripada ilmu hitam.

Berkongsi sedikit sebanyak tentang perkara tersebut dalam sesi siaran langsung di Instagramnya pada pagi Jumaat, Suhaimi akui ada dalam kalangan perawat dan golongan ustaz yang khuatir kesakitan dialaminya berkait dengan buatan orang.

Bagaimanapun, ketika ditanya tentang kaedah rawatan tradisional yang dilakukan untuk menyembuhkan sakit matanya, Suhaimi enggan mengulas lanjut: "Cara tradisional itu biarlah rahsia. Saya tiada komen sebab tahu ramai haters yang akan mengecam kalau salah jawab," tambahnya.

Menceritakan lebih terperinci sakit mata yang dialaminya, kata Suhaimi penglihatannya menjadi kabur, kelabu dan silau hingga membataskan pergerakan hariannya. Justeru, Suhaimi memerlukan bantuan dari isterinya, Ina Naim untuk melakukan tugas harian.

"Ada kata saya nak tagih simpati, tidak, itu semua bohong. Ya, memang betul mata saya masih nampak, saya masih boleh membaca cuma ia terhad.

"Mata saya tiada katarak dan tiada selaput. Mungkin masalah dalaman. Allah nak bataskan penglihatan supaya saya tidak berbuat dosa mata dan tengok benda-benda tak elok.

"Saya reda kalau disembuhkan atau tidak sebab saya sudah terbiasa dengan keadaan ini. Banyak hikmahnya apabila mata saya tak nampak. Saya tak mengata orang dan tak berfikiran negatif.

"Tapi saya nak berubat sebab saya fikirkan tanggungjawab. Apabila mata kabur, saya susahkan Ina untuk memandu ke sana ke sini buat kerja. Saya nak membaca sekarang pun terpaksa minta tolong anak-anak,"
ujarnya.

Suhaimi pernah mendapatkan konsultasi untuk rawatan lasik namun terpaksa menangguhkan hasratnya ekoran kos rawatan terlalu tinggi mencecah RM8,000 hingga RM12,000.

"Oleh itu, saya ikhtiarkan cara yang mudah dan murah yang lain seperti urutan mata, makanan tambahan dan kaedah rawatan tradisional. Yang penting cara itu halal dan saya sentiasa yakin yang menyembuhkan itu Allah," katanya.

Sesi siaran langsung itu dihujani dengan pelbagai pertanyaan dari pengikutnya di Instagram selain mendoakan kesejahteraan penyanyi tersebut.




0 Response to "4 Gambar Wajah Terkini Suhaimi Saad Yang Didakwa Disantau Orang"

Catat Ulasan