Bapa hampir buta selepas dibaling botol anak sendiri


KUALA LUMPUR - Angkara wang RM60 yang diberi ibunya tidak mencukupi untuk membeli dadah, seorang anak lelaki berusia 22 tahun membaling botol kaca hingga terkena mata bapanya menyebabkan kecederaan parah dan terpaksa dibedah.

Dalam kejadian di Pandan Indah, jam 4 petang kelmarin itu, mangsa yang berusia 50-an tidur apabila dikejutkan isterinya selepas tidak tahan dengan maki hamun anak lelaki mereka yang mahu duit tambahan, namun tidak dilayan ibunya.

Mangsa bangun untuk memberi nasihat sebelum anak lelakinya itu keluar rumah kerana tidak mahu mendengar leteran mangsa.

Sumber polis berkata, mangsa menjenguk luar rumah melalui pintu jeriji besi, namun bernasib malang apabila anak lelakinya itu mengamuk dan membaling botol kaca ke arah jeriji itu hingga pecah.

Katanya, akibat balingan itu, serpihan kaca masuk ke dalam mata mangsa menyebabkan kecederaan parah di kedua-dua mata.

“Doktor memaklumkan mata mangsa perlu dibedah segera bagi mengelak menjadi buta,” katanya mangsa sudah menjalankan pembedahan semalam di Hospital Ampang.

Sumber berkata, sebelum kejadian itu, anak lelaki mangsa pulang ke rumah dan mengamuk minta wang dengan ibunya yang hanya mampu memberi RM60.

Katanya, anak lelaki mereka mengugut menikam dan melanggar ibunya sekiranya berjumpa di luar kerana wanita itu enggan memberi wang tambahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut dijalankan.

Sumber: Harian Metro

0 Response to "Bapa hampir buta selepas dibaling botol anak sendiri"

Catat Ulasan