Lumpuh seumur hidup ketika turun dari motosikal


KUALA TERENGGANU - “Ibunya belum sempat lagi memberhentikan motosikal, dia sudah melompat turun dan sikap gopoh cucu itu menyebabkan dia cacat seumur hidup,” kata Zaleha Ngah, 55, nenek kepada Nur Iman Rafiq Abd Rashid, 3, yang putus ibu jari kaki kiri akibat tersepit di dalam gegancu motosikal ditunggang ibunya, Norlia Abdullah, 27, di depan rumahnya di Kampung Pengkalan Batu, Bukit Tunggal, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, Nur Iman Rafiq dan dua abang serta seorang adiknya dibawa ibunya bermain di taman permainan terletak tidak jauh dari kediamannya itu.

Namun, ketika pulang dari taman berkenaan, mangsa membonceng di tempat duduk belakang itu bertindak melompat turun sebaik hampir sampai di rumah tanpa menunggu ibunya memberhentikan motosikal.

Tindakannya itu menyebabkan kaki kirinya termasuk ke dalam rim motosikal sebelum tersepit di dalam gegancu tajam sehingga menyebabkan ibu jari kaki itu terputus.

Zaleha yang tinggal di Batu Rakit, di sini, ketika ditemui di Wad Multidisiplin Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berkata, dia difahamkan ibu jari kaki kiri cucunya putus kerana termasuk ke dalam gegancu motosikal ditunggang anaknya itu.

“Norlia memberitahu kaki kiri anaknya itu tidak sempat memijak tanah ketika melompat turun dari motosikal kerana kaki kirinya tersangkut ke dalam gegancu yang sedang berputar laju dan Nur Iman Rafiq rebah sebaik jari kaki kiri itu terputus dimamah gegancu berkenaan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

0 Response to "Lumpuh seumur hidup ketika turun dari motosikal"

Catat Ulasan