Yasmin Hani bercuti dengan suami di Pulau Bali


Hampir setahun pengacara dan pelakon Yasmin Hani Ismail Richardson, 33, mendirikan rumah tangga dengan bekas pemain drum kumpulan Blackrose iaitu Sha'arin Mohammed Razali Wong.

Cerita Yasmin Hani atau mesra disapa Hani ini, dia gembira hidup bersama Sha'arin.

Luahnya, jika dulu dia banyak menghabiskan masa seorang diri atau bersama teman-teman, tetapi setelah berkahwin kebanyakan aktiviti dilakukan bersama suaminya itu.
"Alhamdulillah, sejak hidup berdua, saya merasakan kehidupan saya lebih sempurna. Semua perkara dilakukan bersama suami. Misalnya seperti hobi. Kebetulan saya dan Sha'arin sama-sama suka menyelam dan melancong.

"Disebabkan itu destinasi bulan madu kami adalah di Pulau Bali dan Pulau Lembongan (sebuah pulau kecil di Bali) yang membolehkan kami menyelam ke dasar laut," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Semarak Cinta terbitan Astro Ria di Flora Terrace, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kenapa Pulau Lembongan di Bali? Kata Hani, tempat itu terlalu privasi dan tidak ramai yang tahu akan kewujudannya.
"Sha'arin yang cari destinasi bulan madu kami menerusi Google. Akhirnya kami sama-sama memilih pulau Lembongan yang masih belum diteroka banyak orang," jelasnya.
Ditanya soal anak, kali ini, Sha'arin pula yang menjawab. Tanpa berselindung Sha'arin memberitahu, dia dan Hani sudah bersedia memperoleh anak pada saat ini setelah hampir setahun mereka berkahwin.


Mempunyai dua orang anak menerusi perkahwinannya yang terdahulu iaitu Narissa, 26, dan Armand, 24, ungkap Sha'arin, cukuplah mereka menghabiskan masa berdua dan kini mereka merancang untuk memperoleh cahaya mata untuk mengembangkan zuriat mereka.
"Kami telah bersedia untuk membina keluarga dan tidak kisah jika kelak diberi rezeki memperoleh anak lelaki atau perempuan," ujar Sha'arin.
Hani kemudian menambah: "Bila tengok anak kawan-kawan seperti Sazzy dan Dynaz ada terdetik di hati saya untuk memiliki anak.

"Namun, saya tidak mahu terlalu tertekan memikirkannya. Saya juga tidak akan terlalu memikirkan kata-kata orang yang ingin melihat saya memiliki anak dengan cepat."

Sementara itu, bercakap tentang sambutan ulang tahun perkahwinan yang pertama pada 21 Oktober ini, ujar Sha'arin, mereka tidak merancang untuk menyambutnya memandangkan pada tarikh terbabit dia terpaksa ke Pulau Langkawi, Kedah untuk menjayakan projek syarikatnya iaitu Blueblack Production.
"Saya terpaksa ke Langkawi untuk suatu produksi berkaitan sukan di sana," jelasnya.
Menurut Hani pula, dia tidak terasa hati kerana suaminya terpaksa keluar negeri pada hari ulang tahun pertama mereka. Ujarnya, jika tiada kekangan kerja, dia mungkin mengikut suaminya itu ke Langkawi.


0 Response to "Yasmin Hani bercuti dengan suami di Pulau Bali"

Catat Ulasan