Menurut Datuk Yusof, tulisan kenyataan maaf terbuka daripada Syamsul menerusi sisipan Berita Harian semalam telah menjernihkan hubungan dua beranak itu selepas dikatakan bertegang urat sejak kebelakangan ini.
Sebagai bapa, Yusof meluahkan perasaan gembira apabila anak keduanya itu yang selama ini mengambil sikap berdiam diri daripada media tampil memberikan kenyataan. Malah, pengarah filem box-office, Sembilu itu menyatakan tidak menyimpan apa-apa perasaan dendam kepada Syamsul.
“Segalanya sudah selesai dan mungkin apa yang berlaku selama ini hanya perselisihan faham. Saya gembira kenyataannya menjelaskan tiada lagi masalah antara kami,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, tindakan Syamsul memohon maaf sesuatu yang baik untuk dicontohi demi kebaikan dan masa depan karier seninya. Malah, beliau terharu dengan tindakan itu yang menghormati orang tua.
“Buat masa ini, dia sibuk menyiapkan kerja suntingan akhir untuk filem baru, KL Gangster 2 yang dijangka siap dalam masa dua minggu lagi. Saya berharap hasil kerjanya kali ini memberikan kepuasan kepadanya,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Syamsul menyatakan dia bersemuka dengan bapanya itu selepas sekian lama berdiam diri. - Metro
0 Response to "Syamsul Husof menangis ketika minta maaf kepada ayahnya"
Catat Ulasan