Dua anak pengasas produk kecantikan Vida Beauty maut kebakaran


Dua anak pengasas produk kecantikan Vida Beauty maut - Dengan Hari Raya Aidilfitri semakin dekat dan bulan Ramadhan semakin menuju ke penghujungnya, berlaku pula kes menyayat hati membabitkan kebakaran rumah pengasas produk kecantikan Vida Beauty sehingga mengorbankan tiga nyawa.

Menurut laporan berita yang diterbitkan Utusan Malaysia, jumlah mangsa yang terkorban ialah tiga orang termasuk dua anak pengasas produk kecantikan Vida Beauty yang ditemui mati rentung terbakar di rumah pekerja syarikat berkenaan di Meru Hill, Bandar Meru Raya semalam.

Dalam kejadian pada jam 9.00 malam itu, seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak tersebut ditemui mati dalam bilik air tingkat atas rumah tersebut.

Mangsa yang terkorban ialah Mohd. Nor Syamil (26), Eddie Zuhdi Mohd. Amin (11) dan adiknya, Edrie Zikrie (10), manakala dua lagi penghuni yang berada di dalam rumah tersebut sewaktu kejadian terselamat.

Seorang daripadanya adalah pekerja lelaki berusia 27 tahun patah kaki selepas bertindak nekad terjun dari tingkat dua rumah berkenaan bagi menyelamatkan diri.

Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah kereta mewah jenis Bentley, sebuah kereta Perodua Kancil dan beberapa buah motosikal.

Kerja-kerja memadam kebakaran dan membawa keluar ketiga-tiga mayat selesai kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Menurut Timbalan Penguasa Bomba Negeri, P. Samasuvam, punca kejadian masih dalam siasatan.

“Semasa kami sampai di lokasi kejadian, api sudah marak dan bumbung rumah jatuh."

Ketiga-tiga mayat berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.


1 Response to "Dua anak pengasas produk kecantikan Vida Beauty maut kebakaran"