Owen mengaku pernah berlakon 1998 dan 2002


Michael Owen mengaku pernah berlakon menjatuhkan badan dengan sengaja bagi mendapatkan sepakan penalti semasa mewakili skuad antarabangsa England.

Penyerang Stoke City itu memberitahu, dia pernah berlakon menjatuhkan badan semasa menentang Argentina pada kempen Piala Dunia 1998 dan 2002.

Dalam kedua-dua perlawanan itu, Owen berjaya mendapatkan sepakan penalti daripada pengadil.
"Saya percaya, 75 peratus pemain lebih gemar untuk tidak bangun dengan segera semata-mata bagi mendapatkan penalti dan saya juga tidak terkecuali.

"Saya pernah bertindak seperti itu ketika berdepan Argentina sebanyak dua kali semasa menyarung jersi England (1998 dan 2002).

"Ketika terjatuh, saya tidak bangkit dengan segera dan akhirnya mendapat sepakan penalti," kata Owen.
Owen membuat pendedahan itu selepas pengurus Stoke, Tony Pulis menuduh penyerang Liverpool, Luis Suarez sebagai ejen penipuan gara- gara sering menjatuhkan badan dalam kotak penalti.


Begitupun Owen berkata, terdapat perbezaan sama ada sengaja menjatuhkan badan atau semasa dikasari pemain lawan.
"Ia sesuatu yang subjektif. Tidak ada mana-mana pemain yang sengaja menjatuhkan badan jika tidak dikasari pemain lawan.

"Bagi saya, ia merupakan salah satu skil yang dimiliki mana-mana penyerang sama ada bagi mendapatkan sepakan penalti ataupun tidak," jelas Owen.
Dalam pada itu, bekas pengadil, Pierluigi Collina yang memberikan sepakan penalti kepada England pada kempen Piala Dunia 2002 menegaskan, pemain berhak mendapat sepakan penalti jika dikasari pemain lawan. 
"Jika mana-mana pemain sengaja menjatuhkan badan tanpa disentuh pemain lawan, itu baru dikira menipu," kata Collina.

0 Response to "Owen mengaku pernah berlakon 1998 dan 2002"

Catat Ulasan