10 Artis Malaysia Paling Cantik 2020 Dengan Latar Belakang Pendidikan Amat Mengagumkan


Artis Malaysia Paling Cantik 2020 - Perasaan tak masyarakat kita masih gemar meletakkan label terhadap selebriti tempatan terutamanya artis wanita sebagai tidak berpelajaran tinggi malah ia seperti sudah menjadi satu kebiasaan!

Kononnya artis tidak perlu belajar tinggi-tinggi untuk berjaya dan cukup sekadar 'menjual' wajah dalam mengecap populariti dan latar belakang pendidikan mereka bukan perkara penting.

Well gais! Tidak berapa lama lagi kita akan masuk ke tahun 2020 dan jangan dibawa sekali pemikiran sempit sebegitu.

Sebenarnya ramai artis Malaysia yang mempunyai pendidikan tinggi malah sampai ke tahap Doktor Falsafah (PhD) namun mereka memilih bidang seni bukan sahaja kerana ingin disanjung tetapi melihat dunia hiburan sebagai kerjaya.

Minggu ini laman pelbagaimacam menyenaraikan 10 artis malaysia paling cantik 2020 yang mempunyai latar belakang pendidikan amat mengagumkan.

1. Mira Filzah, 27 tahun

Mempunyai 4.4 juta pengikut di Instagram, nama Mira Filzah tidak perlu diperkenalkan lagi dan dia antara selebriti wanita yang sering mendapat perhatian tidak kira tentang karier mahupun kisah peribadinya.

Seorang yang bijak menyusun strategi dalam kariernya, perkara itu bukanlah satu yang pelik kerana anak kelahiran Ipoh, Perak ini mempunyai Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

2. Wany Hasrita, 28 tahun

Lagu Menahan Rindu telah melonjakkan nama Wany Hasrita dalam kalangan penggemar muzik tempatan selain pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) tahun lalu.

Namun kejayaan terbesar anak kelahiran Perak ini apabila berjaya menggenggam segulung ijazah dalam bidang Sains Perubatan dari Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) Shah Alam.

Tidak mensia-siakan ilmu yang ditimba, Wany menggunakan pengetahuannya dalam bidang sains bagi mengeluarkan produk kecantikannya Jellyta by Wany Hasrita.

3. Farah Nabilah, 28 tahun

Wajah yang jelita dan lakonan memberangsangkan dalam drama seperti Titian Cinta bersama Zul Ariffin dan Cik Reen & Encik Ngok Ngek bergandingan dengan Fikry Ibrahim melonjakkan nama Farah Nabilah.

Sejak itu juga peminat lebih gemar untuk mengetahui kisah peribadinya termasuk ramai sukakan melihat gandingannya bersama Zul sehingga terlupa bahawa Farah sebenarnya mempunyai Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Kampus Malaysia Universiti Upper Iowa dan Universiti SEGi.

4. Lisa Surihani, 34 tahun

Seperti Yuna, pelakon Lisa Surihani juga mempunyai ijazah dalam undang-undang dari Universiti Aberystwyth Wales, United Kingdom.

Walaupun tidak bekerja dalam bidang perundangan namun Lisa banyak bergiat dalam hal-hal berkaitan kebajikan dan kempen kesedaran selain sibuk menguruskan rumah tangga dan dua anaknya.

5. Che Puan Juliana Evans, 31 tahun

Pengalaman Juliana Evans dalam bidang seni sebenarnya cukup luas kerana sudah melibatkan diri sejak berusia 12 tahun sebagai hos, pelakon dan model.

Jadi tidak hairan Juliana mengambil keputusan menyambung pelajarannya dalam bidang Filem, Video dan Media di Universiti Western Michigan, Amerika Syarikat.

6. Heliza Helmi, 34 tahun

Mungkin bekas peserta program Akademi Fantasia ini tidak lagi aktif sebagai penyanyi namun Heliza Helmi masih menjadi perhatian peminat atas kerja-kerja amal dilakukan.

Siapa sangka perwatakan yang lemah lembut, Heliza sebenarnya adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains, Biologi dan Kimia, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2010.

7. Najwa Latif, 25 tahun

Najwa Latif mengecap populariti menerusi lagu Muka Buku ketika usianya baharu 16 tahun namun dia tidak pernah mengabaikan pelajaran sehingga mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketika namanya berada di kemuncak penyanyi popular Najwa Latif mengambil keputusan melanjutkan pelajarannya di Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Masih aktif menyanyi, Najwa kini mempunyai tanggungjawab baharu iaitu sebagai pensyarah di Unitar selain sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang sama.

8. Nabila Razali, 28 tahun

Sebut sahaja Pematah Hati, kanak-kanak sehingga ke orang tua semua tahu lagu popular Nabila Razali itu dan populariti dikecapinya kini meletakkan dirinya sebaris dengan nama popular lain.

Walaupun sering menerima kecaman netizen namun ramai tidak mengetahui Nabila sebenarnya pemegang Ijazah Sarjana Muda Senibina, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Vroom Vroom!

9. Dr Soo Wincci, 35 tahun

Bekas peserta program Masterchef Selebriti Malaysia ini bukan sahaja seorang pelakon dan penyanyi berbakat besar malah seorang yang bijak dan mempunyai pelbagai ijazah dalam genggamannya.

Pada 2016, Wincci menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM) selepas enam tahun menyiapkan tesisnya.

Tidak cukup dengan itu, Wincci juga mempunyai Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Reading, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Sunshine, Coast, Australia.

Dua tahun Wincci melanjutkan pengajian di sekolah muzik terkenal dunia iaitu Berklee College of Music di Valencia, Sepanyol dalam bidang Ijazah Sarjana Muzik. Pheww!

10. Yuna, 34 tahun

Lapan tahun lalu, Yuna mengambil keputusan memulakan karier nyanyiannya di Amerika Syarikat dan sejak itu pelbagai kejayaan dikecapi termasuk Chapters dinamakan sebagai album R&B Terbaik pada 2016 oleh Billboard.

Di sebalik kejayaannya itu, sekiranya Yuna tidak meneruskan kerjaya dalam bidang seni dia kini mungkin seorang peguam berkaliber kerana mempunyai Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

0 Response to "10 Artis Malaysia Paling Cantik 2020 Dengan Latar Belakang Pendidikan Amat Mengagumkan"

Catat Ulasan