Anugerah Skrin 2012


Anugerah Skrin musim yang ke-14 merupakan antara majlis terunggul di dalam lipatan sejarah industri tanah air. Tahun ini, Anugerah Skrin telah mengangkat Selami Dunia Fantasi Kami (Fairy Tale) sebagai konsep malam Anugerah Skrin yang akan berlangsung pada 9 November 2012 (Jumaat) bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dari jam 9.00 malam hingga 11.30 malam.

Mengimbas kembali sejarah kewujudan Anugerah Skrin, ianya mula diperkenalkan pada tahun 1994 dengan tujuan untuk menjulang bakat dan memberi pengiktirafan kepada pengeluar-pengeluar drama, filem dan produksi TV tempatan termasuk telefilem dan drama bersiri yang terpilih. Antara faktor yang menyebabkan telefilem dan drama bersiri ini terpilih untuk ditayangkan di kaca televisyen adalah garapan skrip yang baik, jalan cerita yang sempurna, lakonan yang mantap dan mutu penerbitan yang baik serta mampu menyampaikan mesej positif di samping boleh menarik perhatian penonton.

Antara stesen televisyen yang akan dijemput untuk menyertai anugerah berprestij ini Media Prima Berhad, TV3, NTV7, 8TV, TV9, RTM, ASTRO dan TV Al-Hijrah. 


Anugerah Skrin bakal diacarakan oleh Awal Ashaari yang akan bergandingan dengan Neelofa, manakala acara karpet merah akan dikendalikan oleh pasangan Karl Shafek dan Dynas bersama Juara Pencarian Hos Pantene Anugerah Skrin Musim Ke-2. Antara artis-artis yang akan menjayakan persembahan Anugerah Skrin 2012 ialah Datuk M. Nasir, Hazama, Misha Omar, Tomok, Fizz Fairuz, Anas Ridzuan, Hafiz, Adibah Noor dan Dayang Nurfaizah. Saksikan juga penampilan istimewa Datuk Rahim Razali, Datin Paduka Umie Aida, Ella, Rosyam Nor, Aqasha, Adi Putra, Fouziah Gous, Didie Alias, Scha Al Yahya dan ramai lagi pada malam itu.

Secara keseluruhan, Anugerah Skrin 2012 bakal mempertandingkan 23 kategori meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman serta 2 Anugerah Khas iaitu Anugerah Yasmin Ahmad dan Anugerah Artis Harapan Pantene. Kesemua 23 kategori yang dipertaruhkan meliputi 10 kategori drama bakal dipertandingkan manakala jumlah kategori filem yang dipertandingkan kekal 7 kategori dan 6 kategori penerbitan dalaman. Calon-calon yang dipertandingkan pula terdiri daripada terbitan yang telah ditayangkan di kaca TV dan pawagam mulai 1 Julai 2011 hingga 30 Jun 2012 dan pencalonan drama yang berdasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian Nielsen Audience Measurement mengikut ‘genre’ masing-masing.

Untuk kategori drama, 18 buah drama, 14 drama rantaian dan 4 drama komedi telah dicalonkan. Manakala untuk kategori filem pula 34 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan untuk Anugerah Skrin 2012 ini. Antara drama yang layak bertanding seperti Pelarian, Di Telapak Kaki Bonda, Ku Petik Dosa, Maharku Untukmu, 100 Hari, Sepatu Merah, Bedah Tong Gas, Hilangnya Doa Seorang Ibu, Parut Ashikin, Biar Mimpi Sampai Ke Bintang dan Pak Ngah Haji Omar.


Manakala filem yang layak bertanding termasuk Bunohan, Mael Lambong, Songlap, Papa I Love U, Chow Kit, Berani Punya Budak, Bini-biniku Gangster, Jiwa Taiko, Hoore! Hoore!, Jalan Kembali (Bohsia 2) dan lain-lain. Bagi kategori drama rantaian pula, Anugerah Skrin 2012 menerima pencalonan seperti Tentang Dhia, Tahajjud Cinta, Mahabbah, Bunga Bunga Syurga, Makbul, Maharani, Cinta Shanxi, Karma, Lara Hati, Serapah Darah Bulan Madu, Jangan Ambil Padang Kami, Tanah Kubur Siri 3, Maqam dan Projek Pop. Semua pencalonan akan dinilai oleh panel juri profesional yang dipilih.

Tahun ini, Anugerah Skrin 2012 turut menyampaikan Anugerah Yasmin Ahmad dalam kategori Anugerah Khas Juri untuk kali yang keempat sempena menghargai jasa arwah Yasmin Ahmad dalam sumbangannya menghasilkan konsep filem yang berkualiti dan memperkenalkan bakat-bakat baru di dalam filem terbitannya. Selepas Jaclyn Victor, Shaheizy Sam dan Syamsul Yusof, trofi ini akan dianugerahkan kepada pelapis yang berpotensi untuk pergi jauh di dalam industri tanah air.


0 Response to "Anugerah Skrin 2012"

Catat Ulasan